Thursday, February 7, 2008

KARYA AGUNG DALAM KOMIK

Karya agung dalam komik (Kosmo Online)

Oleh JOHANNA A. SOBREY

Seiring dengan trend masa kini yang sentiasa dahagakan kelainan, sebuah syarikat penerbitan di England, SelfMadeHero telah memberi nafas baru kepada karya Shakespeare dalam bentuk manga.

(PAUL DUFFIELD melihat salah satu karya manga Shakespeare yang dipromosikan di Suria KLCC baru-baru ini).


"What's in a name? That which we call a rose

By any other name would smell as sweet."

- Romeo & Juliet. Babak II Adegan 2

Siapa yang tidak kenal karya agung penulis Inggeris William Shakespeare. Dari komedi ke sejarah sehinggalah tragedi, hasil nukilan penyajak dan penulis drama ini melampaui garisan zaman dan kekal popular sehingga hari ini.

Digambarkan sebagai penulis teragung dalam sastera Inggeris dan dramatis terkemuka, penulis yang lahir pada tahun 1564 di Stratford-upon-Avon, Warwickshire, England ini juga sering dipanggil Bard of Avon atau lebih mudah, The Bard.

Sebanyak 38 drama, 154 soneta, dua sajak panjang dan beberapa puisi lain adalah antara hasil nukilan Shakespeare dalam kerjayanya yang menghampiri tempoh 25 tahun.

Drama-drama Shakespeare telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa utama dan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk media sama ada di pentas mahupun media massa lain.

Malah, pelbagai adaptasi juga boleh dilihat pada masa kini.

Misalnya, novel-novel grafik yang memaparkan karya-karya Shakespeare bukanlah satu perkara yang baru.

Namun demikian, seiring dengan trend masa kini yang sentiasa dahagakan kelainan, sebuah syarikat penerbitan di England, SelfMadeHero telah memberi nafas baru kepada hasil karya Shakespeare dalam bentuk manga.

Manga merupakan bahasa Jepun untuk 'komik'. Merujuk ensiklopedia online Wikipedia, manga moden terbentuk tidak lama selepas Perang Dunia Kedua. Sungguhpun demikian, ia mempunyai sejarah yang panjang dan kompleks dalam seni lukis Jepun lama.

Di Jepun, manga bukan sahaja dibaca oleh golongan muda, tetapi mempunyai diversiti pembaca dari setiap lapisan usia meliputi pelbagai subjek dan topik.

Ia termasuk kisah pengembaraan penuh aksi, cinta, sukan dan permainan, drama, sejarah, komedi, fiksyen sains dan fantasi, cerita seram, seksualiti, perniagaan dan perdagangan.



PAUL DUFFIELD menghabiskan masa enam bulan untuk menghasilkan The Tempest.

Sejak diperkenalkan, keinginan terhadap manga tidak pernah malap. Malah, bahan bacaan grafik ini terus berkembang dan kini boleh didapati hampir di seluruh dunia.

Menyedari betapa besar potensi pasaran manga, SelfMadeHero mengambil langkah besar untuk menggandingkan dua karya dari zaman dan dunia berbeza menjadi satu hasil yang berilmu dan menyeronokkan.

Dilukis oleh artis-artis manga yang terkenal dan menetap di Britain, dengan karakter-karakter manga yang biasanya mempunyai mata yang besar dan hidung yang comel, lahirlah siri Manga Shakespeare pada Mac 2007 dengan keluaran awal menampilkan manga Romeo & Juliet dan Hamlet.

"Manga Shakespeare ialah satu siri novel grafik adaptasi drama-drama Shakespeare. Menampilkan fusion bahasa klasik Shakespeare dengan visual-visual manga, adaptasi terkini itu pastinya mampu menarik minat segenap lapisan masyarakat sama ada pelajar atau penggemar karya Shakespeare.

"Sungguhpun menggunakan bahasa sastera klasik, siri manga Shakespeare ini boleh dilihat sebagai satu alat pendidikan yang cool dan 'menghidupkan semula' karya Shakespeare serta berkait rapat dengan kehidupan masa kini," ujar Penerbit dan


Pengarah SelfMadeHero, Emma Hayley ketika ditemui KOSMO! di British Council Kuala Lumpur baru-baru ini.

Manga Romeo & Juliet diceritakan dalam persekitaran Tokyo moden dan Hamlet dalam dunia siber 2017.

Richard III dan The Tempest diterbitkan pada September tahun lalu dan A Midsummer Night's Dream akan keluar pada bulan ini.

"Julius Ceasar dan Macbeth dijangka akan menemui pembaca pada bulan Jun, sementara As You Like It dan The Merchant of Venice pula pada September ini," kata wanita berusia 34 tahun ini lagi.

Mendapat inspirasi daripada filem arahan Baz Luhrmann pada tahun 1996, Romeo & Juliet, Hayley berkata, beliau ingin melakukan sesuatu yang serupa iaitu menggunakan teks asli Shakespeare dalam medium yang baru.

"Tambahan pula, saya mahukan satu produk British dengan pembaharuan masa kini, dan manga adalah pilihan yang sempurna," kata Hayley yang telah menubuhkan syarikat penerbitan Metro Media yang berpangkalan di London pada tahun 2003 bersama rakan perniagaannya, Jenny Ross.

Tidak lama kemudian, SelfMadeHero ditubuhkan dan baru-baru ini disenarai pendek sebagai Penerbit Muda Terbaik yang merupakan sebahagian daripada Anugerah Industri Buku British.

Tidak mengambil keputusan secara melulu untuk melahirkan Manga Shakespeare, Hayley telah melawat Jepun untuk mengkaji segala perkara berkaitan industri dan seni Manga.

Dengan kegilaan manga yang semakin tersebar luas, buku-buku manga di pasaran sedia ada telah dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan kini boleh didapati bukan sahaja di kedai-kedai kecil, sebaliknya gedung buku utama dan konvensyen komik yang sering diadakan di Jepun.

"Saya percaya Manga Shakespeare boleh menjadi satu medium efektif untuk memperkenalkan Shakespeare kepada generasi muda yang biasanya melihat karya beliau sebagai kolot atau sukar untuk difahami," kata Hayley lagi.

Beliau juga memaklumkan tentang penghasilan manga Shakespeare turut melibatkan kerjasama mereka yang berpengetahuan dalam karya Shakespeare.

Menyedari karya Shakespeare adalah teliti dan panjang, Hayley menjelaskan bahasa klasik itu terpaksa diringkaskan agar format komik dapat membawa jalan cerita secara visual.

"Saya faham sesetengah pihak tidak akan suka kerana kami terpaksa meringkaskan sedikit karya Shakespeare. Ia satu yang tidak dapat dielak kerana kami mahu karya ini boleh dicapai oleh semua peringkat usia melalui medium yang semakin popular dengan golongan muda," ujarnya.

Sungguhpun demikian, beliau berkata, sejak diperkenalkan, Manga Shakespeare telah menerima maklum balas positif daripada guru-guru dan organisasi seperti Royal Vic dan Royal Shakespeare Company.

Sungguhpun pada peringkat permulaan, pihaknya berhadapan dengan reaksi negatif apabila pencinta karya Shakespeare risau bahawa penulis itu dilihat berbeza daripada ciri tradisional dan klasik, Hayley berkata: "Saya tidak berputus asa."

"Kini, maklum balas positif diterima apabila para pencinta bahasa Shakespeare melihat bahawa manga ini mampu menarik perhatian kanak-kanak berusia 10 tahun untuk membaca karya Shakespeare."

Paul Duffield, artis yang terlibat dalam siri Manga Shakespeare The Tempest berkata: "Dunia manga di Britain masih lagi baru tetapi sedang berkembang pesat dengan lebih banyak kedai-kedai buku besar memaparkan pelbagai karya manga.

"Daripada satu penerbitan sendiri yang kecil dan banyak bertempat di internet, kini segalanya telah berubah apabila pelbagai penerbitan besar mempunyai artis manga sepenuh masa yang menetap di Britain."

MANGA mempunyai diversiti pembaca yang lebih luas.

Bukan gaya konvensional

Manga jauh berbeza daripada komik atau novel grafik biasa, ujar Paul Duffield ketika ditemui semasa sesi Bicara Buku : Manga Shakespeare di kedai buku Kinokuniya, Suria KLCC baru-baru ini.

"Melukis manga membenarkan seorang pelukis bermain dengan imaginasinya dengan panel dan susun atur setiap muka surat yang terbuka.

"Ia satu cara bercerita yang jauh berbeza daripada gaya konvensional," kata pelukis berusia 23 tahun itu. Beliau merupakan pemenang Bintang Baru Manga yang dipilih oleh penerbit manga, Tokyopop pada Festival Manga dan Anime Antarabangsa yang berpangkalan di Britain.

Membesar dengan meminati dunia manga, Duffield yang mendapat pendidikan universiti dalam bidang animasi berkata, menghasilkan sebuah karya manga bukanlah tugas yang mudah.

Mengambil masa enam bulan untuk menghasilkan The Tempest, Duffield perlu melaksanakan kajiannya sendiri terhadap karya Shakespeare di samping melakar jalan cerita, penentuan set, karakter dan juga rekaan kostum.

"Setiap karya Shakespeare digambarkan mengikut kreativiti pelukis dan pada masa yang sama masih mengekalkan intipati asal penulis itu,"ujarnya.

Menurutnya, manga merupakan satu medium visual yang kontemporari dan sangat efektif dalam menceritakan satu kisah.

Katanya, ia dinamik dan mampu menghubungkan perkembangan plot yang kompleks.

"Shakespeare menulis untuk masyarakat umum, ia satu hiburan yang boleh dinikmati oleh semua. Oleh itu, visual merupakan kunci kepada perkara tersebut.

"Gambaran jelas yang diceritakan oleh Shakespeare membantu kerja-kerja pelukis. Kami hanya perlu menggunakan kreativiti mengolah agar ia relevan dengan dunia sekarang," katanya.

Duffield juga berkata, perbincangan terbuka sering diadakan bersama pasukan pengarang bagi mencari bahan yang sesuai sekali gus memberi panduan terhadap projek tersebut tanpa mengabaikan visi artis.

Sementara itu, Penerbit dan Pengarah SelfMadeHero, Emma Hayley memaklumkan bahawa Manga Shakespeare kini digunakan di beberapa sekolah di Britain.

"Menggunakan papan putih interaktif, para pelajar diperkenalkan dengan dunia Shakespeare dalam keadaan yang menyeronokkan dan rapat dengan dunia mereka," katanya.

Menurutnya, cara itu mampu mencetus minat pelajar untuk menikmati bahasa indah Shakespeare dan terus membacanya.

Manga Shakespeare menerima sambutan yang memberangsangkan di Britain dan Amerika Syarikat dan kini dijual di banyak negara termasuk Malaysia.

Manga itu juga akan dilancarkan di India dan dialih bahasa kepada bahasa Korea dan Itali tidak lama lagi.

"Dengan visual yang dinamik dan bahasa yang indah, Manga Shakespeare menawarkan platform yang sempurna kepada generasi masa kini untuk jatuh cinta dengan karya Shakespeare dalam suasana yang menyeronokkan," ujar Hayley menamatkan bicara.


Komen:

Mereka telah melakukan anjakan dalam lukisan komik berteraskan karya agung sastera mereka. Kita bila lagi? Adakah kita mahu komik yang berteraskan novel picisan? Kalau ya, Komsas harus ditukar kepada karya picisan yang membawa cerita realisme, yang menyajiikan kisah cintan cintun remaja.

No comments:

About Me

Sebagai mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 2006- 2009 bermula 9 Ogos 2009. Sekarang bekerja di sebuah perbankan Islam di Kuala Lumpur. Berminat dengan kegiatan ilmiah, berdiskusi, membantu golongan mustad'afin, mengembara, menjadi sukarelawan dan mencari kebenaran. Seorang yang terbuka, suka bersangka baik dan bersahabat dengan ramai orang. Boleh dihubungi melalui mohdhilmiramli@gmail.com